Tuhan Izinkan Aku Mencari Cahaya | Nur Shazareen Kamarozaman
*Tuhan, Izinkan Aku Mencari Cahaya*—mengajak tadabur al-Quran, memahami wahyu sebagai cahaya hati, membimbing muhasabah dan kembali kepada tujuan sebenar kehidupan.
“Sampai bila kita hanya mahu membaca al-Quran tanpa mengetahui isinya?” Allah SWT menurunkan al-Quran bukan sekadar untuk dilagukan, tetapi untuk ditadabur. Namun realitinya, ramai antara kita membaca tanpa memahami, mengulang tanpa menghayati, lalu membiarkan kalam Tuhan berlalu tanpa menyentuh jiwa. Tuhan, Izinkan Aku Mencari Cahaya mengajak kita kembali kepada tujuan sebenar wahyu diturunkan. Melalui kupasan ayat-ayat terpilih yang menyentuh soal kehambaan, kekeluargaan, alam dan kewanitaan, buku ini membimbing pembaca melihat al-Quran sebagai surat cinta daripada Allah SWT — yang menuntut renungan, bukan sekadar bacaan. Dengan bahasa yang ringan namun menggetarkan, setiap bab menjadi ruang muhasabah. Tentang hati yang mungkin telah mengeras. Tentang nikmat yang sering tidak disyukuri. Tentang takdir yang sentiasa melangkaui tadbir manusia. Kerana tanpa tadabur, hati boleh terkunci. Tanpa cahaya wahyu, hidup boleh menjadi gelap tanpa kita sedari. Sudahkah kita benar-benar mencari cahaya? Nur ala Nur — cahaya di atas cahaya — menanti hati yang bersedia menerima sinarnya.